Jaringan kereta api Malaysia selepas kemerdekaan

Artikel ini adalah terkini pada 3 Disember 2015.

malaysia_rail_map
Peta jaringan kereta api di Malaysia hari ini.

Jaringan kereta api di Malaysia sejak kemerdekaan tidak banyak berubah malah laluan-laluan yang tidak dianggap penting dihentikan perkhidmatannya. Jalan kereta api ke kawasan berikut ditanggalkan dan hingga ke hari ini perancangan untuk menyambung semula perkhidmatan tersebut masih belum dimulakan. Berikut merupakan laluan-laluan yang dihentikan perkhidmatannya :

  • Falim-Tronoh, Perak
  • Kuang-Batu Arang-Batang Berjuntai (Bestari Jaya), Selangor
  • Tampin-Bandar Melaka, Melaka
  • Taiping-Port Weld, Perak
  • Bukit Kuda-Jeram-Kuala Selangor, Selangor
  • Bahau-Kuala Pilah, N. Sembilan
  • Tapah Road-Teluk Intan-Teluk Intan Wharf. Perak
  • Woodlands-Bukit Timah-Tanjong Pagar, Singapura (diambil alih oleh Singapura)
ktm singapore
Gambar yang diambil di Tanjong Pagar, Singapura.

Manakala laluan yang dihentikan perkhidmatan tetapi masih dibiarkan relnya adalah seperti :

  • Pasir Mas-Rantau Panjang-Hat Yai (State Railway of Thailand masih menggunakan laluan Sungai Golok-Hat Yai) (juga digunakan oleh KTMB sebagai laluan kecemasan untuk tren E&O)
  • Seremban-Port Dickson (diabaikan)
  • Subang Jaya-Sri Subang (Subang Airport) (kerja naik taraf sudah dimulakan untuk laluan Komuter)

Gambar KTM Komuter EMU 60 dan 17 di Sentul pada 1995.
Gambar KTM Komuter EMU 60 dan 17 di Sentul pada 1995.

Namun begitu, terdapat juga beberapa laluan yang diambil alih dan dijadikan laluan transit seperti :

  • Salak Selatan-Ampang Junction-Sultan Street (Pudu) (diambil alih oleh LRT Laluan Ampang)
  • Ampang Junction-Ampang (diambil alih oleh LRT Laluan Ampang)
  • Kuala Lumpur-Port Klang (sebahagian daripada Komuter Laluan Batu Caves-Pelabuhan Klang)
  • Kuala Lumpur-Batu Caves (sebahagian daripada Komuter Laluan Batu Caves-Pelabuhan Klang)

Manakala di Sabah pada tahun 1960, North Borneo Railway menjalankan penambahbaikan laluan-laluan kereta apinya. Namun, pada 1963 keputusan diambil untuk menutup laluan ke Weston dan pada 1970 laluan Tenom ke Melalap turut mengalami nasib yang sama. Pada 1974, laluan utama dari Kota Kinabalu turut ditutup hingga ke Tanjung Aru.

Selepas 1990-an barulah kerajaan Malaysia mula merancang dan membuat penambahbaikan jaringan kereta api di Malaysia.

1995 Komuter di Lembah Klang (klik disini untuk sejarah lanjut KTM Komuter)

KTMKomuterRoute

KTM Komuter diperkenalkan pada 1995 untuk menyediakan perkhidmatan tren tempatan kepada penduduk Lembah Klang dan Kuala Lumpur. Ia menggunakan laluan KTM yang sedia ada dengan menaik taraf landasan kepada landasan elektrik berkembar.

  • 3 Ogos 1995 – Tren pertama KTM Komuter memulakan perkhidmatan antara Kuala Lumpur dan Rawang. Perjalanan percuma ditawarkan sehingga 11 Ogos 1995.
  • 14 Ogos 1995 – Operasi dimulakan secara komersial antara Kuala Lumpur dan Rawang yang kemudiannya disambung hingga ke Salak Selatan pada 29 September 1995.
  • 28 Ogos 1995 – Operasi antara Sentul dan Shah Alam bermula. Perkhidmatan ini kemudia disambung ke Klang pada 29 September 1995.
  • 20 November 1995 – Laluan Rawang-Kuala Lumpur disambung hingga ke Kajang.
  • 18 Disember 1995 – Keseluruhan rangkaian KTM Komuter dibuka dengan pembukaan laluan ke Seremban.
  • 16 April 2001 – Stesen KL Sentral KTM Komuter dibuka.
  • 3 Mac 2004 – Kemalangan terburuk KTM Komuter berlaku apabila tren arah Seremban melanggar belakang tren lain berdekatan Seremban.
  • 23 Ogos 2004 – Stesen Mid Valley KTM Komuter dibuka.
  • 1 Julai 2005 – Pembayaran secara elektronik Touch ‘n Go mula digunakan di rangkaian KTM Komuter.
  • 1 Julai 2006 – Stesen Kepong Sentral KTM Komuter dibuka.
  • 21 April 2007 – Perkhidmatan shuttle antara Rawang dan Rasa dimulakan.
  • 5 Januari 2008 – Pembukaan stesen Kuala Kubu Bharu, dan sambungan perkhidmatan shuttle Rawang-Kuala Kubu Bharu shuttle service (dahulu dikenali sebagai Rawang-Rasa shuttle) ke stesen ini.
  • 1 Jun 2009 – Sambungan laluan Rawang-Kuala Kubu Bharu ke Tanjung Malim. Laluan ini kini dikenali sebagai Rawang-Tanjung Malim shuttle.
  • 28 April 2010 – Koc wanita-sahaja diperkenalkan. Koc tersebut adalah koc paling tengah.
  • 29 Julai 2010 – Laluan Sentul-Port Klang disambung hingga ke Batu Caves dengan pengenalan 4 stesen baru.
  • 14 Mei 2011 – Laluan Seremban-Rawang disambung hingga ke Senawang dan Sungai Gadut.

1996 LRT Ampang, Kelana Jaya dan KL Monorel (klik disini untuk sejarah lanjut Rapid Rail)

Laluan Ampang dan Kelana Jaya dibina dan diselia oleh 2 syarikat yang berbeza pada mulanya; Sistem Transit Aliran Ringan (STAR) untuk Laluan Ampang yang bermula pada 1995, dan Projek Usahasama Transit Ringan Automatik (PUTRA) untuk Lauan Kelana Jaya yang bermula pada 1998. Pada tahun 2004, operasi kedua-dua perkhidmatan ini diambil alih oleh Rapid Rail di bawah pentrukturan semula pengangkutan awam Kuala Lumpur.

KL Monorel pula pada mulanya diselia oleh KL Infrastructure Group, dari 2003 until 2007, sebelum syarikat tersebut diishytihar bankrup. Syarikat Prasarana mengambil alih dan memberi hak operasi kepada Rapid Rail.

  • 16 Disember 1996 – Perkhidmatan LRT Laluan Ampang antara stesen Ampang dan stesen Sultan Ismail dimulakan.
  • 11 Julai 1998 – Laluan Ampang dipecahkan kepada Laluan Sri Petaling yang menghubungi stesen Chan Sow Lin dan stesen Sri Petaling.
  • 1 September 1998 – Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya  antara stesen Kelana Jaya dan stesen Gombak dimulakan.
  • 6 Disember 1998 – Laluan Ampang disambung hingga ke stesen Sentul Timur.
  • 31 Ogos 2003 – Perkhidmatan KL Monorel anta stesen KL Sentral dan Titiwangsa dimulakan.
  • 30 November 2011 – Sistem tiket yang merangkumi seluruh transit di Lembah Klang (kecuali KTM Komuter) diperkenalkan.
  • 31 Oktober 2015 – Laluan Sri Petaling disambung hingga ke stesen Kinrara BK5.
Peta Transit Lembah Klang.
Peta Transit Lembah Klang.

Pada masa ini, projek sambungan LRT Laluan Kelana Jaya dan Sri Petaling sedang giat dijalankan. Projek yang dijangka siap pada Mac 2016 akan menyambungkan kedua-dua laluan yang sedia ada untuk bertemu di stesen Putra Heights. Sementara itu, pembinaan projek LRT3 Laluan Bandar Utama-Klang akan dimulakan pada suku pertama tahun 2016 dan dijangka siap pada 2020. Untuk maklumat lanjut, sila baca Ringkasan LRT 3 Laluan Bandar Utama – Klang→

2002 KLIA Transit/Ekspres (klik disini untuk sejarah lanjut ERL)

KLIA Transit/Ekspres dibina untuk menghubungkan Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menggantikan Lapangan Terbang Subang sebagai lapangan terbang utama negara. Projek pembinaan dimulakan pada Mei 1997 dan siap 5 tahun selepas itu.

  • 14 April 2002 – Perkhidmatan terus KLIA ke KL Sentral dimulakan.
  • 1 Jun 2002 – Perkhidmatan henti-henti antara KLIA dan KL Sentral yang berhenti di 3 stesen tambahan dimulakan.
  • 24 Ogos 2010 – Kemalangan pertama berlaku melibatkan 3 penumpang cedera, sebuah tren kosong melanggar tren yang baru hendak berlepas ke KLIA di KL Sentral.
  • 1 Mei 2013 – Sambungan 2.14 hingga ke terminal KLIA2.

2008 Landasan berkembar Seremban-KL-Ipoh

Pada tahun 2008, kerajaan Malaysia memulakan projek yang besar untuk menaik taraf perkhidmatan kereta api di negara ini memandangkan jaringan jalanraya dan lebuhraya sudah tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang semakin bertambah kian tahun. Projek landasan berkembar menghubungkan Johor Bahru di selatan ke Padang Besar di utara dibina berperingkat melalui 4 fasa utama iaitu:

  1. Rawang-Ipoh (siap 2010)
  2. Ipoh-Padang Besar (siap 2015)
  3. Seremban-Gemas (siap 2013)
  4. Gemas-Johor Bahru (pembinaan mula 2016)

Projek ini adalah projek untuk menaiktaraf laluan pantai barat sedia ada single kepada laluan elektrik berkembar. Setakat ini laluan dari Gemas ke Padang Besar sudah memulakan perkhidmatan tren ETS (tren yang menggunakan kuasa elektrik berbanding tren Intercity yang masih menggunakan diesel). Manakala laluan dari Gemas ke Johor Bahru akan memulakan pembinaannya pada 2016 dan dijangka siap pada 2020.

2010 Pelancaran laluan pertama ETS, Ipoh-KL Sentral (klik disini untuk sejarah lanjut ETS)

Selepas projek landasan berkembar dari Rawang ke Ipoh siap pada 2010, KTM memperkenalkan perkhidmatan shuttle Kl Sentral-Ipoh menggunakan tren diesel dan pada Ogos 2010, KTM memperkenalkan perkhidmatan ETS KL Sentral-Ipoh dan KL Sentral-Seremban. Namun pada 2012, perkhidmatan ke Seremban dihentikan.

2011 Pemodenan Sabah State Railway (klik disini untuk sejarah lanjut SSR)

Koc yang lebih moden diperkenalkan selepas 2011.
Koc yang lebih moden diperkenalkan selepas 2011.

Laluan Tanjung Aru-Tenom ditutup sementara pada 2007 untuk penambahbaikan. Pelapik landasan kereta api yang sebelum ini dibuat dari kayu digantikan dengan yang diperbuat daripada konkrit. Pada 21 Februari 2011, keseluruhan laluan Tanjung Aru-Tenom dibuka dengan jumlah 14 buah stesen.

2011 MRT Lembah Klang (klik disini untuk maklumat lanjut MRT)

Pada Disember 2010, kerajaan meluluskan pembinaan projek MRT dan pembinaan MRT1 Laluan Sungai Buloh-Kajang dimulakan pada tahun 2011 dan dijangka memulakan operasi pada 2016. Laluan ini akan menghubungkan pusat bandar KL dengan kawasan-kawasan seperti Kota Damansara, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Cheras dan Balakong yang merangkumi penduduk seramai 1.2 juta orang.

Manakala projek MRT2 Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya pula pada masa ini sedang dipamerkan untuk mendapatkan tinjau balas daripada orang ramai. Ia dijangka memulakan pembinaanya pada tahun 2016 dan siap pada 2021. Projek MRT3 Laluan Bulatan pula masih dalam perancangan akhir. Laluan ini akan mengelilingi kawasan padat Lembah Klang dan KL.

2015 Pelancaran ETS dari Gemas hingga ke Padang Besar, Komuter Sektor Utara dan Selatan

Tahun 2015 merupakan tahun yang agak sibuk untuk kereta api Malaysia dengan pengenalan laluan dan perkhidmatan baru KTM; ETS ke Padang Besar dan Gemas; dan Komuter Sektor Utara/Selatan. Sambungan LRT Laluan Ampang juga dibuka hingga ke stesen Kinrara BK5. Selain itu, projek MRT1 juga hampir 90% siap dan dijangka memulakan operasi pada tahun hadapan.

ETS KL - Padang Besar
ETS KL ke Padang Besar.

Komuter Sektor Utara mengandungi satu laluan 11 stesen; Kamunting, Perak dan Gurun, Kedah; dan satu cabang ke Butterworth dan Bukit Mertajam. Pada masa ini, hanya 12 perjalanan beroperasi sehari; 6 dari kamunting dan 6 dari Gurun; dengan kekerapan perjalanan 3 jam.

Komuter Sektor Selatan mengandungi 2 laluan iaitu Seremban-Pulau Sebang/Tampin (5 stesen) dan Seremban-Gemas (7 stesen). Dengan pengenalan 2 laluan ini, Komuter dari Rawang yang sebelum ini berakhir di Sungai Gadut akan berakhir di Seremban. Kekerapan Laluan Seremban-Pulau Sebang/Tampin adalah 30 minit pada waktu puncak dan 1 jam pada luar puncak.

  • 11 September 2015 – KTM Komuter Sektor Utara memulakan perkhidmatan.
  • 10 Oktober 2015 – KTM Komuter Sektor Selatan memulakan perkhidmatan.

2020~ Kereta Api Laju KL-Singapura, Penang Rapid Transit, Johor Bahru Metro, Johor Bahru-Singapore RTS Link?

Banyak lagi projek yang masih dalam peringkat perancangan awal dan juga projek yang masih belum diumumkan. Apa yang pasti dengan kepadatan pendudk yang semakin tinggi, memamng keperluan untuk projek-projek transit dan kereta api ini akan terus dirancang dan dibina.

High Speed Rail is booming in China
Projek HSR antara KL dan Singapura masih dalam peringkat perancangan awal.

 

Klik untuk berita-berita mengenai: KTMMRTRapid KLERLSSRHSR

Advertisements