KTMB buka semula laluan lama untuk tren ETS

KUALA LUMPUR 11 Ogos – Sambutan hangat yang diberikan kepada Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mendorong syarikat rel negara itu untuk membuka semula laluan-laluan lama yang berhampiran dengan ibu kota.

Menurut Presiden KTMB, Sarbini Tijan, berdasarkan sambutan orang ramai itu, KTMB bercadang untuk menghidupkan kembali perkhidmatan di laluan-laluan seperti Seremban ke Port Dickson dan Tapah ke Teluk Intan, KTMB juga, sedang dalam proses menghidupkan kembali laluan Subang ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTASS) yang dijangka siap dan boleh digunakan menjelang 2018, tambahnya.

Sarbini memaklumkan perancangan KTMB itu dalam satu temubual dengan Utusan Online ketika ditemui pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-130 Tahun KTMB di Ibu Pejabat KTMB di sini hari ini.

Beliau berkata, sejak dilancarkan pada 10 Julai lepas, ETS telah dinaiki oleh lebih 150,000 penumpang dan angka ini membayangkan potensi besar jika perkhidmatan berkenaan ditawarkan di laluan-laluan berkenaan.

Sarbini memberitahu, ETS dapat menjimatkan masa 60 peratus masa perjalanan dan faktor inilah yang bakal menjadi penarik kepada para pengguna di kawasan-kawasan laluan lama yang bekerja di Kuala Lumpur untuk menggunakannya.

“KTMB melihat terdapat minat dan keperluan tinggi daripada pengguna di laluan-laluan lama ini terhadap pengaktifan semula laluan-laluan berkenaan,” katanya.

Klik untuk menonton video berita ini di Utusan Online →

Utusan Online – 11 Ogos 2015

Advertisements