Ringkasan Melaka Monorail

Logo Melaka Monorail pada bahagian depan tren.
Logo Melaka Monorail pada bahagian depan tren.

Kos pembinaan projek ini pada mulanya dianggarkan sebanyak RM 28 Juta tetapi telah berkurang kepada RM 16.5 juta. Ia mula dibina pada Mei 2008. Pada mulanya, monorel yang dicadangkan dapat memuatkan sebanyak 88 orang tetapi berkurang kepada 22 orang dan bergerak pada kelajuan kira-kira 12 km/j. Perkhidmatan ini sebenarnya lebih bertujuan perlancongan berbanding untuk pengangkutan awam biasa. Perkhidmatan monorel ini dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pada 20 Oktober 2010 bersempena sambutan perasmian Melaka Maju 2010.

Fasa kedua projek monorel ini pada mulanya dirancang dengan landasan yang sedia ada akan disambung dengan 1.6 kilometer lagi landasan bermula di Jambatan Chan Koon Cheng ke The Stadhuys. Namun begitu, ianya diubah dari Stesen Hang Jebat di Taman Rempah ke Jalan Tun Mutahir dan Jalan Tun Ali ke Stesen Hang Tuah di Jalan Bunga Raya sepanjang 1.3 kilometer. Fasa kedua projek itu juga akan mengandungi satu stesen penyelenggaraan di persimpangan Jalan Tun Ali dan Jalan Tun Mutahir bagi memastikan sistem monorel itu menepati piawaian yang ditetapkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Antara penambahbaikan yang dilakukan pada fasa kedua projek ini adalah terdapat pintu bantuan kecemasan di gerabak, menyediakan laluan antara gerabak, pusat kawal trafik dan sistem pemindahan automatik selain generator. Proses pembinaan fasa dua bermula pada bulan Disember 2011 dan dijangka siap pada Februari 2013. Namun begitu, projek ini telah terbengkalai.

Fakta penting mengenai Melaka Monorail :

  • Status : Terbengkalai
  • Kos : RM 16.5 juta
  • Pemilik/penyelenggara : Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah/Syarikat Melaka Taming Sari
  • Panjang keseluruhan laluan : 1.6 km (menyelusuri Sungai Melaka)
  • Jenis tren : Monorel 3 gerabak buatan China
  • Kelajuan tren : 12 km/j
  • Muatan tren : 22 orang
  • Stesen : Stesen Monorel Hang Jebat (Taman Rempah, Pengkalan Rama) dan Stesen Monorel Hang Tuah (berhampiran stesen bas lama Melaka)
  • Keluasan setiap stesen : 2,500 kaki persegi

Pada 6.45 petang, 26 Disember 2013, pelancong dari Melbourne, Australia berusia antara 30 hingga 50 tahun terpaksa dibawa turun menggunakan jentera sky lift pada ketinggian lebih lima meter selepas perkhidmatan monorel yang dinaiki mereka mengalami kerosakan. Selain kejadian tersebut, dilaporkan ada 21 kejadian gangguan perkhidmatan yang akhirnya memaksa perkhidmatan Melaka Monorail ini dihentikan pada Disember 2013. Antara punca gangguan perkhidmatan tersebut adalah tahap keselamatan yang tidak memuaskan terutamanya pada waktu hujan. Pada 2015, ada rancangan oleh Kerajaan Negeri Melaka untuk menghidupkan semula Melaka Monorail ini dengan membeli tren baru dan menambahbaik ciri keselamatan. Namun hingga sekarang, tiada tanda-tanda projek tersebut dijalankan.

Baca berita terkini mengenai Melaka Monorail di sini→

Advertisements