Penyelarasan Tambang LRT, KL Monorel

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini mengumumkan penyelarasan tambang baru bagi sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang dan KL Monorel.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Azmi Abdul Aziz berkata, penyelarasan itu diperkenal bersama mod pembayaran berbeza untuk tunai dan bukan tunai bagi menggalakkan penjimatan dalam kalangan penumpang.

Katanya, ketika ini struktur tambang bagi ketiga-tiga perkhidmatan adalah berbeza dengan LRT Laluan Kelana Jaya menggunakan kadar caj mengikut stesen di Kawasan Pusat Perniagaan, LRT Laluan Ampang menggunakan perkiraan berdasarkan jumlah stesen dan KL Monorel bergantung kepada jarak perjalanan.

“Untuk struktur tambang yang lebih adil dan konsisten, kita selaraskan semua mengikut jarak perjalanan iaitu sama seperti amalan operator rel seluruh dunia.

“Dengan kaedah ini, pengguna akan dikenakan bayaran masuk (70 sen) diikuti caj mengikut jarak perjalanan sebenar.

“Justeru, akan ada penurunan caj, pengekalan harga dan kenaikan tambang antara RM1 hingga RM4.40 di sepanjang laluan ketiga-tiga perkhimatan,” katanya.

Harian Metro – Intan Mas Ayu Shahimi | 2 November 2015